Penulis ucapkan
ribuan terima kasih dan komen di atas penulisan ` GELAGAT IBUBAPA PELAJAR `KAYARAYA’ DI MRSM ALOR GAJAH’ sebagaimana isi
kandongannya di sini http://nasirwise.blogspot.com/2014/01/gelagat-ibubapa-pelajar-kayaraya-di.html. Penulis terima komen komen melalui `feedback’ dan juga telefon. Majoriti
pengulas mengucapkan `kudus’ kepada penulis tetapi ada juga yang tidak setuju
dengan pemerhatian penulis. Dengan kesempatan yang ada, penulis ingin menjawab
komen komen sinis tersebut.
Blog ini diberi nama Sekadar Pandangan yang bermaksud penulisannya hanya
pandangan peribadi penulis. Seterusnya tajuknya Gegalat Ibubapa atau perbuatan
yang dilakukan oleh ibubapa pelajar.
Semasa mengulas gelagat ibubapa pelajar ini, pemerhatian penulis mendapati
gelagat ibubapa yang membawa kereta mewah itu (termasuklah Rolls Royce,
Mecerdes Benz,BMW dan lain, bekalan makanan dan minuman yang banyak serta
komputer dan alat komunikasi yang canggih) ......
Salah seorang pengulas ialah Admin MRSM sendiri yang menulis bahawa
kemasukan pelajar ke MRSM berdasarkan merit iaitu keputusan cemerlang 5A.
Mungkin pencapaian keputusan ini senang diukur berbanding dengan `kekayaan
sesebuah keluarga'. Admin ulas bahawa pengurusan tahu dengan `detail’ tahap
pencapaian 5A setiap pelajar dan markah A berada di antara 80-100 markah. Admin
mengakhiri ulasan nya dengan mengatakan `rezeki masing masing’ dan jangan buruk
sangka sesama kita. Ulasan Admin juga bermaksud kemasukan pelajar ke MRSM dan
status ibubapa pelajar adalah rezeki Allah SWT.
Pada penulis, rezeki yang ALLAH beri itu berdasarkan sistem pincang atau
tidak sempurna MRSM. ALLAH memberi rezeki kepada orang berjudi juga.
Berdasarkan
keputusan UPSR, kelulusan 5A bertambah baik setiap tahun. Tidak keterlaluan
jika penulis katakan pelajar yang ibubapanya kaya, peluang adalah tinggi
untuk mendapat 5A asalkan rajin dan fokus belajar. Ini adalah kerana ibubapa
mereka mampu menyediakan yang terbaik untuk anak seperti `home tuition
one-to-one’ dengan bayaran ada mencecah RM800-RM1000 @seorang@sebulan ( untuk
makluman profesion adik penulis ialah cikgu 'home tuition' berpengkalan di
Kuala Lumpur/Shah Alam. Pelanggannya 90 peratus anggota pekerja
Petronas), atau menghantar anak ke tuisyen biasa, membelikan pelbagai
jenis buku rujukan, buku latihan, menghantar anak ke seminar/ bengkel
kecemerlangan UPSR, bekalan makanan mencukupi dan berkhasiat dengan
pelbagai pil vitamin minda/otak yang banyak terdapat di pasaran sekarang. Ada
juga anak dibekalkan komputer untuk kemudahan belajar melalui e book. Ada
juga yang mampu menghantar anak ke kelas piano, muzik, tennis, karate
untuk memperbanyakkan sijil-sijil tambah nilai aktiviti. Dengan galakan
termasuklah kewangan daripada keluarga, tidak mustahil mereka boleh mendapat
5A.
Bandingkan itu semua
dengan anak orang-orang miskin yang serba serbi kekurangan, ( tak kira lah
bandar atau luar bandar yang berpendapatan kurang RM2000 @sebulan), atau anak
luar bandar yang kurang kemudahan infra nya, atau anak ibu/bapa tunggal yang
emosinya terganggu kerana keluarga tidak sempurna..... tetapi masih berjaya
mendapat 5A ( yang mungkin peratusnya 80-85 ) atau 4A 1B. Dengan
kekurangan itu semua, mendapat 4A 1B atau 3A
2B pun sepatutnya mereka yang kurang berada ini sudah boleh
dipertimbangkan ke MRSM. Sebab itu ada istilah mata 'handicap' dalam
sesetengah permainan sukan untuk persaingan yang adil.
November
lepas, seorang kenalan atau kawan anak penulis dalam kategori susah telah pergi
ke pejabat negeri MARA untuk mendapatkan 'slip pin' bagi permohonan ke MRSM.
Permohonan ditolak kerana anak hanya mendapat 4A 1B. Betul lah kata
Admin... 5A sahaja yang layak. Tanpa rasa iri hati kepada anak orang
kaya yang mendapat 5A, peluang juga harus diberikan kepada anak orang
miskin yang mendapat 4A 1B. Awal-awal lagi peluang mereka dinafikan kemasukan
tanpa melihat latar belakang mereka. Kemungkinan 1B tu kerana perkara-perkara
yang penulis sebutkan di atas. Bagaimana hendak bandingkan pelajar pelajar
ini jika iklim pembelajarannya amat berbeza. Macam kita membandingkan oren
dengan epal. Apabila peluang 'pin' tadi sudah diberikan,
seterusnya terserah lah kepada rezeki masing-masing. Bersainglah dan terpulang
kepada pertimbangan pegawai yang menemuduga untuk menilainya secara keseluruhan
kelayakannya.
Jangan menganggap sesuatu teguran sebagai buruk sangka. Tiada isu rezeki, atau
anak akan menjadi bongkak seperti ibubapa yang bongkak atau lain-lain, isunya
kita berusaha untuk menambah baik sistem pemilihan dan memberi keadilan kepada
mereka yang benar-benar susah. Seperti kata Admin markah A ialah 80-100.
Tidak mustahil mereka yang yang mendapat 98-99 adalah mereka yang latar
belakangnya banyak membantu. Tidak begitu?
Adalah
menjadi tanggungjawab dan amanah kita semua terutama pengurusan MARA untuk
menjalankan tugas dengan sebaik mungkin dan menambah baik apa jua sistem dari
masa ke semasa. Kita tidak mengharapkan 100% 'perfect', sekadar memberi teguran
kepada apa yang berlaku di depan mata.
Ringkasnya jurang
pendidikan di kalangan pelajar miskin masih wujud. Penulis cadangkan sistem
kemasukan MRSM di rangka seperti di bawah:-
1. Peratusan
pelajar Bandar dan Luar Bandar MRSM ditetapkan, mungkin 30 peratus pelajar
Bandar sahaja. Itulah matlamatnya.
2. Pencapaian
5A sahaja untuk pelajar Bandar dan minima 4A 1B untuk pelajar luar Bandar.
Pelajar Orang Asli kemasukannya ditetapkan 3A 2B. Pentaksiran Bandar dan luar
Bandar mesti ditetapkan terlebih dahulu.
3. Faktor kriteria keluarga dimasukkan ketika pemilihan dan bukan
merit 5A semata-mata.
Mungkin juga Pengurusan MARA boleh menjadikan BRIM sebagai satu eleman
kemasukan pelajar ke MRSM kerana LHDN mempunyai rekod setiap penerimanya.
Seorang pengulas tidak
gembira dengan pemerhatian penulis mengenai berkenderaan Roll Royce atau kereta
mewah ke MRSM Alor Gajah. Beliau memberi alasan kereta tersebut sudah
berusia 24 tahun dan dibeli murah. Macamana orang lain tidak sangka buruk ? Di
Malaysia hanya orang kaya yang memandu Roll Royce. Sultan, Ketua Menteri
Sarawak (akan bersara pada 28Februari), ahli perniagaan yang sangat berjaya
(kalau setakat pegawai Kerajaan atau ahli perniagaan setahun jagung tidak
mampu) ATAU Sultan Melaka. Tidak mungkin pengulas itu Sultan Melaka yang palsu
itu.
Roll Royce mungkin
mampu di beli tetapi tahu tidak berapa cukai jalan dan insurannya setahun?
Berapakah penggunaan minyak sekilometer? Berapakah kos `monthly maintenance’
dan dimana kah `tunning up’ dilakukan?
Penulis pasti penulis berada dikategori rendah pendapatan pada
masakini dan diharap anak anak akan dapat kerja selepas tamat ijazah pertama
bulan Disember 2013 yang lalu. Penulis harap pemilik Roll Royce dan kereta
mewah tidak menerima BRIM3 seperti yang di nikmati oleh penulis dan adik
perempuan penulis.
Mungkin juga Pengurusan MARA boleh menjadikan BRIM sebagai satu
eleman kemasukan pelajar ke MRSM kerana LHDN mempunyai rekod setiap
penerimanya. Penulis amat menghormati 17,000 rakyat Malaysia yang menulis
kepada LHDN agar mereka di keluarkan daripada senarai penerima BRIM. Mereka ini
sangat jujur dan memahami bahawa bantuan adalah untuk mereka yang berhak.
Wasalam.