Monday 6 January 2014

TERINGAT HAJI MAHMUD YANG DI `PETI SEJUK’ DI JOHOR CORPORATION. APA KHABAR BELIAU?


JCorp mengamalkan sessi perjumpaan dengan semua anggota pekerja di awal tahun dan pertengahan tahun. Dimulai dengan perjumpaan anggota pekerja gred A dan B. Anggota pekerja C dan D di sessi berlainan. Di ruang inilah Datuk Ali (kini Tan Sri) dan barisan pengurusan atasan akan memberitahu perkembangan terkini projek projek yang sedang dan akan dijalankan. Salah satu daripada projek yang dibentangkan untuk pandangan awal pekerja ialah   projek perhotelan yang kini dikenali sebagai Puteri Pan Pacific Hotel.

Datuk Ali cuba mendapatkan pandangan pekerjanya tentang industri perhotelan. Ada yang menyokong, ada yang tidak menyokong dan ada yang menyokong bersyarat.

Pada masa itu, majoriti pekerja mahukan projek hotel tetapi ada suara suara keras daripada anggota pekerja A dan B, mencadangkan  tiada jualan minuman keras. Datuk Ali menjelaskan bahawa sebuah hotel yang bertaraf antarabangsa lazimnya melibatkan pelanggan luar negara dan mereka berkehendakkan minuman keras. Pengendalinya, Tokyu Hotel dari Jepun, yang juga mengendalikan beberapa rangkaian hotel Pan Pacific di dalam dan luar negeri, mahukan keseragaman perkhidmatan di semua rangkaiannya.

Salah seorang anggota pekerja yang tidak menyokong projek hotel ialah Haji Mahmud. Rakan sekerja penulis ini mungkin 5-6 tahun lebih tua daripada penulis. Mahmud yang petah bercakap dan berpendirian pro agama (ahli ABIM) menyebabkan Datuk Ali tidak selesa dengan Mahmud. Di sini bermulanya persengketaan mereka.

Akhirnya Mahmud di peti sejuk di Jabatan Perancang di bawah Tuan Haji Zahran. Beliau enggan berhenti kerja dan JCorp tidak mahu memberhentikan Mahmud atau tiada asas untuk memberhentikan beliau. Tindakan petisejuk pun berjalan. Beliau tidak diberikan apa apa tugas. Meja beliau bersih dan tiada telefon. Rakan sekerja tidak dibenarkan berinteraksi dengan Mahmud mengenai kerja. Tuan Haji Zahran mungkin diberikan tugas tugas khas untuk `convert’ Mahmud. Bertahun juga di petisejuk.

Penulis dapat rasakan kekecewaan, kesedihan dan kemarahan Mahmud terhadap Datuk Ali. Mahmud tidak marah pada Puan Siti, Tn Hj Jalal atau Puan Shikin di Jabatan Pentadbiran dan Perjawatan kerana arahannya dari Datuk Ali. Sebagai manusia, tentulah Mahmud mempunyai perasaan malu dan dendam.

Sebagai ketua organisasi, Datuk Ali ada kewajiban untuk mendidik pekerjanya menjadi pengurus yang baik, amanah dan bertaqwa, juga sehaluan di dalam bisnes yang JCorp ceburi.  

Penulis tiada maklumat samada Mahmud bertahan lama di JCorp. Adakah mereka berbaik baik semula? Ataupun ditukar ke subsidiari lain?

Atau mungkin Mahmud tersenyum (besar atau kecil atau sinis) mendengar berita perletakan jawatan Tan Sri Ali di dalam JCorp dan KFC. Ramai juga masyarakat Melayu, yang tidak faham dengan ketegasan Datuk Ali, marah dengan beliau. Ahli UMNO lagi ramai yang tidak sehaluan dengan Datuk Ali. Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Syed Ali Al Atas dari Johor,rasanya, sampai ke hari ini tidak berkenan dengan Tan Sri Ali.


Inilah yang penulis katakan risiko menjadi seorang pemimpin politik atau organisasi. Kepada CEO baru JCorp jadikan ini sebagai iktibar. Juga untuk diri penulis.

No comments:

Post a Comment