Sunday 24 August 2014

PERANAN SULTAN DALAM KEMELUT MB SELANGOR


Artikal yang di tulis oleh Prof Shamrahayu memperjelaskan beberapa persoalan yang membantu rakyat Selangor menjawab beberapa kekeliruan. Persoalannya ialah:-

1.  Siapakah yang layak dilantik sebagai menteri besar?
2. Adakah disyaratkan dia seorang anak jati atau dilahirkan di negeri Selangor?
3. Adakah seorang menteri besar telah kehilangan kepercayaan setelah beliau dipecat daripada parti politiknya.
4. Bolehkah seorang wanita dilantik sebagai menteri besar?
5. Adakah menteri besar boleh dipecat?
6. Bagaimanakah hilang kepercayaan kepada menteri besar boleh berlaku?
7.  Siapakah yang boleh membuat permintaan untuk membubar Dewan.
8. Dalam keadaan manakah Sultan boleh memberi perkenan dan dalam keadaan manakah pula baginda boleh, untuk tidak memberi perkenan bagi pembubaran DUN? 


Kemelut jawatan Menteri Besar di Selangor mempunyai impak mendalam kepada pemahaman dan perkembangan undang-undang Perlembagaan. Persoalan undang-undang Perlembagaan yang mempunyai jalur persoalan sama telah berlaku di Perak dahulu dan ia telah selesai dengan keputusan mahkamah. Peristiwa sebegini sudah tentu memberikan kita peluang untuk mengenali diri dan negeri, serta seterusnya negara kita dalam konteks perundangan; supaya kita lebih mengenali dan dapat menentukan prinsip amalan demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan dan seterusnya demokrasi beraja kita.

Kalau kita pengikut atau penyokong tegar demokrasi, kita perlu fikir kembali apakah benar-benar demokrasi berparlimen yang kita faham itu dapat menjamin kestabilan dan dapat mengubat penyalahgunaan kuasa oleh para pemain demokrasi. Sebenarnya kemelut ini telah memperkenalkan kepada kita ruang lompong demokrasi. Sekiranya kita sedar tentang wujudnya kelompongan tersebut, apakah cara terbaik untuk kita menyediakan perisai supaya demokrasi tidak menyebabkan barah salah guna kuasa dalam sistem kita.

Demokrasi berparlimen yang kita amalkan ini adalah demokrasi yang mempunyai raja atau demokrasi beraja. Dikembarkan dalam sistem kita ini ialah demokrasi beraja. Sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan dan seterusnya demokrasi beraja itu mempunyai punca kuasa yang sama, iaitu Perlembagaan. Dengan kata lain, Perlembagaan mencipta demokrasi berparlimen. Perlembagaan juga mencipta raja berperlembagaan dan Perlembagaan juga meletakkan prinsip dan nilai kepada kedua-duanya. Kedua-duanya bersumberkan Perlembagaan. Sebab itulah Perlembagaan menjadi sumber utama undang-undang dan juga sumber kepada sistem pentadbiran kita.

Beberapa perkara perundangan berkaitan kemelut menteri besar di Selangor ini ialah; pertama, siapakah yang layak dilantik sebagai menteri besar? Syarat kelayakan lantikan menteri besar ialah dia seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan.

Adakah disyaratkan dia seorang anak jati atau dilahirkan di negeri Selangor? Syarat ini tiada dalam Perlembagaan negeri Selangor. Dalam amalan demokrasi melalui pilihan raya, seseorang bukan anak jati negeri boleh bertanding dan menjadi ADUN bagi negeri Selangor. Dengan itu, sebagai seorang ADUN walaupun bukan anak jati negeri Selangor, seseorang ADUN itu layak dilantik menjadi menteri besar dari segi undang-undang bertulis. Tetapi di sini timbul persoalan amalan Perlembagaan. Adakah kita mahu membentuk satu amalan atau konvensyen Perlembagaan (satu sumber Perlembagaan) untuk menjadikan syarat tidak bertulis bahawa menteri besar hendaklah daripada anak jati negeri berkenaan. Mungkin ini boleh dijadikan amalan Perlembagaan untuk diserahkan kepada budi bicara sultan. Dalam keadaan ini kita meletakkan prinsip tidak bertulis kepada apa yang tidak dinyatakan oleh Perlembagaan secara harfiah.

Adakah hal kewarganegaraan isu penting dalam kelayakan sebagai menteri besar? Ya. Ia adalah isu penting. Ini kerana Perlembagaan, dalam kes negeri Selangor ini, Perlembagaan Negeri Selangor dengan nyata dan jelas menyebut bahawa seorang yang mendapat kewarganegaraan menerusi cara naturalisasi atau pendaftaran menerusi Perkara 17 Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh dilantik sebagai Menteri Besar Selangor. Perkara 17 Perlembagaan Persekutuan telah dimansuhkan pada tahun 1962, tetapi ia tetap menjadi syarat atau larangan dalam peruntukan Perlembagaan negeri Selangor.

Bolehkah seorang wanita dilantik sebagai menteri besar? Sekali lagi tiada syarat yang jantina diletakkan oleh undang-undang. Oleh itu dari segi undang-undang, ia bukan satu kesalahan. Di sini kita sekali lagi memerlukan jawapan kepada persoalan sama ada kita perlu mencipta amalan atau konvensyen Perlembagaan?

Budi bicara

Adakah kita mahu menerima amalan terdahulu yang sentiasa meletakkan seorang lelaki sebagai menteri besar mahu diteruskan sebagai amalan atau kita mahu mengubah amalan ini atas dasar merit atau kebolehan seseorang calon menteri besar tanpa melihat kepada jantinanya. Mungkinkah di sini kita perlu memberi sultan, dalam demokrasi beraja untuk menentukan jawapan kepada perkara ini? Sekiranya seorang wanita itu memenuhi merit, saya tidak mempunyai masalah dengan wanita menjadi menteri besar. Dan sultan perlu diberikan kuasa budi bicara untuk menentukan merit atau kebolehan dan kewibawaan seorang calon menteri besar, bukan semata-mata kepada jantina calon tersebut.

Persoalan lain yang timbul dalam kemelut di Selangor ini ialah, adakah seorang menteri besar telah kehilangan kepercayaan setelah beliau dipecat daripada parti politiknya. Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa, kepercayaan kepada menteri besar ialah kepercayaan Ahli Dewan, bukan kepercayaan parti politiknya. Tetapi bacaan dalam politik ialah menteri besar telah hilang kepercayaan sekiranya dipecat daripada parti politiknya.

Adakah menteri besar boleh dipecat? Setelah dilantik dengan kepercayaan menteri besar tidak boleh dipecat, kecuali beliau telah dibuktikan telah hilang kepercayaan kepadanya dan beliau enggan meletak jawatan. Sultan boleh memecat menteri besar yang pada hemat baginda telah hilang kepercayaan sekiranya menteri besar tersebut enggan meletak jawatan. Setelah itu, sultan diberikan kuasa budi bicara untuk menentukan seorang ADUN yang pada hemat baginda" mempunyai kepercayaan majoriti ADUN.

Bagaimanakah hilang kepercayaan kepada menteri besar boleh berlaku? Jawapan kepada soalan ini telah banyak kita lihat. Sebagai ringkasan dalam keadaan di Selangor ini, sebagaimana juga keputusan dalam kes mahkamah dalam kemelut Perak sebelum ini, ia boleh ditentukan di luar Dewan Undangan Negeri melalui satu pernyataan dokumen yang mempunyai kesan undang-undang. Ia tidak semestinya dibuat dalam Dewan Undangan Negeri.

Apa yang jelas di sini ialah, dalam beberapa keadaan peruntukan Perlembagaan tidak menjelaskan dalam bentuk tulisan atau tidak menyatakan secara harfiah tentang beberapa perkara dan perincian dalam sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan tersebut. Antara persoalan yang tidak dijelaskan secara harfiah oleh Perlembagaan ialah - apakah yang dimaksudkan dengan frasa pada hemat baginda dalam peruntukan undang-undang.

Apabila Perlembagaan dengan jelas menyebut bahawa Sultan mempunyai kuasa untuk tidak membubar Dewan Undangan Negeri apabila ada permintaan untuk membubarkan Dewan. Persoalan berkaitan ialah, siapakah yang boleh membuat permintaan untuk membubar Dewan. Adakah hanya menteri besar yang percaya dia telah kehilangan kepercayaan sahaja, atau ada orang lain, selain menteri besar boleh membuat permintaan membubar Dewan. Saya berpendapat, hanya menteri besar tersebut yang boleh membuat permintaan membubar Dewan. Ini jelas dalam Perkara 53(6) Perlembagaan Negeri Selangor.

Sekiranya menteri besar membuat permintaan untuk membubar Dewan Undangan Negeri, dalam keadaan manakah Sultan boleh memberi perkenan dan dalam keadaan manakah pula baginda boleh, untuk tidak memberi perkenan bagi pembubaran DUN? Semua ini perlu diserahkan kepada budi bicara Tuanku Sultan. Kekosongan ini menunjukkan ruang kepada kita untuk membina sistem, membentuk nilai dan seterusnya mencipta konsep amalan Perlembagaan kita sendiri.

Oleh itu peristiwa atau seperti kemelut di Selangor ini menyediakan satu ruang untuk kita membentuk amalan Perlembagaan kita. Amalan Perlembagaan dalam keadaan ini berkaitan dengan, terutamanya kuasa raja atau sultan bagi negeri dalam menentukan kepercayaan ahli Dewan Undangan Negeri.

Persoalan berkait kemelut jawatan menteri besar di Selangor ini membawa kita kepada satu pendekatan atau satu peluang untuk kita mencipta faham Perlembagaan kita sendiri. Apakah prinsip-prinsip yang perlu kita pakai dan tafsiran Perlembagaan yang perlu kita tetapkan untuk sistem raja berperlembagaan yang kita terima dan jadikan amalan Perlembagaan kita sekiranya ia tidak bertulis dalam Perlembagaan. Kita rujuk kepada sejarah kita, kita tidak perlu meniru raja berperlembagaan yang diamalkan di negara lain kerana amalan tersebut tidak sesuai dengan sejarah dan hala tuju negara kita. Tiada konsep universal dalam prinsip raja berperlembagaan.

Prof. Shamrahayu
Penulis ialah Felo Utama Pusat Kajian
Syariah, Undang-Undang dan Politik,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140824/re_08/Peranan-Sultan-dalam-kemelut-MB-Selangor#ixzz3BJTgSLEa

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment