Tuesday, 26 February 2013


TRANSFORMASI SUKAN BOLASEPAK REMAJA DI MALAYSIA.

Bolasepak adalah sukan tertua dan popular di Malaysia dan dunia. Sukan bolasepak telah menjana ekonomi untuk sesebuah negara, pemain, kelab, TV, pekilang barangan sukan dan pakaian dan banyak pihak lagi.

Di Malaysia, kedudukan bolasepak masih ditakuk lama iaitu di tangga 159 dunia. Mengapakah ia berlaku dan sehingga kini belum lagi terurus baik. Saya yakin tanpa perancangan yang rapi serta rombakan syallubus dan penekanan kesukanan diperingkat bawah atau kategori bawah 10, 12, 14 dan 16 tahun, Malaysia akan tergelincir jauh. Pengurusan sukan Malaysia khasnya Kementerian Belia dan Sukan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu merencana program sukan bolasepak yang bersepadu. InsyAllah, jika transformasi ini dapat dilakukan, di dalam masa 5 tahun, kedudukan Malaysia akan berada di lingkungan atau kumpulan tangga  100 teratas. Penulis harap biarlah KBS dan FAM melaksanakan transformasi sukan ini seperti Transformasi Pendidikan. Tidak perlu penglibatan terus PM Malaysia untuk mempertabatkan sukan kerana PM diperlukan dibidang ekonomi, keselamatan, agama dan sosial.

Nanum permasalahan bolasepak remaja Malaysia menghantui kita. Skop perbincangan dan contoh permasalahan akan dibataskan kepada kelab dan pasukan di Melaka sahaja, untuk meyenagkan pemahaman, walaupun permasalahan di negeri lain agak sama.

Melaka mempunyai 10-15 bekas pemain Melaka dan Malaysia yang kini aktif di bidang kejurulatihan dan pengurusan sukan bolasepak. Dengan andaian, setiap pemain menjadi Ketua Jurulatih, hanya 10-15 kelab/pasukan sekolah yang mendapat perkhidmatan bekas pemain Melaka/Malaysia tersebut. Andaian ini tidak mengambilkira bekas pemain yang tidak minat bersukan lagi, tidak sihat, tidak mempunyai lesen jurulatih dan tiada masa kerana urusan kerja.

Di Melaka, kelab/pasukan bolasepak padang hanya disekitar 20 buah manakala pasukan futsul yang aktif bermain dan bertanding tidak melebihi 30 pasukan.

Kertas cadangan transformasi sukan bolasepak padang remaja lelaki dimajukan untuk matlamat memperbaiki kedudukan Malaysia di mata dunia jangka panjang disamping membentuk pengurusan sukan yang lebih professional. Akhirnya ia akan membawa kepada kesejahteraan murid dan pelajar.









PENYATAAN PERMASALAHAN  BOLASEPAK REMAJA
  1. Pembangunan bolasepak dan pengcungkilan bakat baru tidak efektif dan menyeluruh.
  2. Jurulatih berpengalaman masih kurang bilangannya.
  3. Perhubungan kelab bolasepak dan pasukan bolasepak tidak mesra dan dalam keadaan bersaing kerana sikap jurulatih kelab dan guru sukan sekolah.
  4. Tiada badan penganjur yang efisien serta berdana cukup.
  5. Sukar mendapatkan penaja besar dan kecil serta jangka panjang.
  6. Waktu latihan yang terhad dan kurangnya kemudahan latihan.
  7. Penumpuan kategori pemain bawah 12 tahun dan Melaka Tengah sahaja.
  8. Melaksanakan objektif diantara pembangunan sukan dan pembentukan pasukan `tournament standard’ serta mendapat keputusan terbaik dalam pelajaran.



Penajaan sukan bolasepak amat sukar di Melaka tanpa campurtangan Kerajaan Negeri atau Kementerian Pendidikan. Apakah aktiviti yang perlukan penajaan oleh sesebuah kelab/pasukan yang aktif di Liga Tempatan?. Liga Tempatan bermaksud pertandingan di dalam negeri Melaka sahaja. Kos pengurusan sesebuah kelab/pasukan dalam fasa pembangunan sukan (berbanding dengan fasa pembentukan pasukan `tournament standard) terbahagi kepada dua bahagian iaitu kos kapital dan kos operasi.

Kos kapital ialah pembelian jersi lengkap 2 pasang setahun (minima), peralatan latihan, bola latihan (sebaiknya 1 biji bola untuk seorang pelatih), peralatan perubatan dan yuran jurulatih.

Kos operasi termasuk kos pengangkutan dan perbelanjaan makan dan minum, juga sewa padang (jika kelab/pasukan itu tidak mempunyai padang latihan).

Kos jurulatih merupakan kos terbesar dan mustahak di dalam bolasepak. Jika kelab/pasukan ini mengadakan perlawanan persahabatan, kos pengadil (kelazimannya sebanyak RM200 sehari akan diperlukan dan kos sewa padang perlawanan sebanyak RM50-RM100 sehari.

Banyak kelab/pasukan menghadapi masalah kewangan untuk berjalan aktif. Ada kelab/pasukan mengenakan yuran pendaftaran (RM10-RM20 sekali bayaran), bayaran TShirt (RM10-RM15/helai) dan Jersi (RM30-RM50/lengkap/pelatih) serta yuran latihan bulan (RM10-RM40/bulan/pelatih) untuk menampong kos pengurusannya. Ada juga kelab/pasukan akan memohon sumbangan ibubapa untuk membayar yuran penyertaan sesuatu pertandingan. Yuran pertandingan boleh mencapai RM1000/penyertaan seperti Liga I Malaysia Cardiff City dan RM200 jika bertanding di Liga anjuran kelab/pasukan. Didapati ada kelab tidak menyertai Liga tersebut kerana kekangan kewangan tersebut.

Ada kelab/pasukan memerlukan ramai pelatih untuk menampong kos pengurusan walhal untuk tujuan `effectiveness’, seorang jurulatih boleh menjaga 25 orang pelatih sahaja. Jika seorang pelatih dikenakan yuran RM10/orang untuk 2 hari latihan seminggu (2 -3 jam setiap latihan), jumlah kutipan sebulan ialah RM250. Andaikata kelab/pasukan ini mengadakan tambahan 1 lagi sessi (sessi pagi dan sessi petang untuk pelatih berasingan), dimana 25 pelatih diambil, kutipannya masih lagi RM250. Adakah RM500 sebulan berbaloi untuk seorang jurulatih? Masa hari minggu tertumpu di padang.

Kita boleh merangka jurulatih mewujudkan banyak sessi lagi seperti hari Isnin dan Selasa sahaja, sessi petang. Tetapi masalah akan timbul apabila waktu latihan bertembung dengan waktu persekolahan agama petang bagi setengah pelatih dan juga aktiviti koko. Ia sukar dilaksanakan. Latihan malam lebih menyukarkan kerana kurangnya padang permainan malam dan menyulitkan ibubapa.

Hampir semua kelab/pasukan menghadapi masalah kecairan wang tunai untuk menguruskan kelab/pasukan. Jurulatih yang bergantung 100 peratus kepada pendapatan bolasepak akan menghadapi masalah mendapatkan gaji mereka. Salah satu sebab kurang berjaya atau menyerlahnya pasukan bolasepak adalah permasalahan gaji jurulatih. Tidak ramai yang bersikap semangat kesukanan dan sukarelawan di dalam industri ini. Keperluan minima kos sara hidup perlu diatasi.

Menyedari masalah kecairan kewangan, transformasi bolasepak yang dicadangkan ialah Kerajaan Negeri atau Kementerian Pendidikan atau agensi yang diamanahkan, menubuhkan Tabung Bolasepak atau Yayasan Bolasepak untuk membiayai sebahagian kos pengurusan semua kelab/pasukan di Melaka. Tabung/Yayasan ini diharapkan akan mwngeluarkan geran permulaan atau asas di samping membiayai kos jurulatih atau peralatan latihan.

Banyak model Tabung/Yayasan yang boleh dijadikan contoh dan amalan. Kepimpinan Negeri atau Kementerian perlu membuat dasar sumbangan oleh setiap GLC Negeri dan Nasional atau Malacca Based Listed Companies atau syarikat pelaburan besar swasta di Melaka.

Rakyat pun boleh berperanan dan mustahak dalam transformasi ini. Rakyat Islam yang mampu boleh menderma kambing dan lembu atau menghulurkan bantuan beras, pakaian, air minuman dan sebagainya jika usaha itu dipandang mendapat pahala besar atau derma sukan dianggap jihad.


Rakyat Malaysia dan Melaka khasnya telah buktikan keperihatian mereka dan sikap memberi apabila Kerajaan/Swasta melancarkan Tabung Kemanusian Gaza dan sebagainya. Strategi `menderma kearah aktiviti kesukanan merupakan amal ibadat dan mendapat pahala’ perlu menjadi penekanan. Target kutipan sumbangan ialah RM1juta.

Diandaikan di Melaka sahaja, akan wujud 50 kelab/pasukan baru dan lama dan setiap kelab/pasukan akan menerima geran RM3000 tunai atau dalam bentuk barangan seperti jersi, bola dan peralatan sukan. Tabung/Yayasan akan membelanjakan RM150,000 untuk permulaan. Pengurusan Tabung/Yayasan akan bertindak sebagai `central purchasing’ untuk kelab/pasukan supaya tiada penyelewangan dana dan kualiti berlaku serta memungkinkan `bulk pricing’. Pengurusan Tabung/Yayasan perlu amanah menjalankan tugas supaya wang kutipan RM1 juta bertahan untuk tempoh melebihi setahun. Pengurus pasukan akan mendapat barangan mereka yang berkualiti baik dan tepat pada masanya.



Tabung/Yayasan perlu memikirkan masalah yuran kepada jurulatih tadi. Diketahui umum, bilangan jurulatih di Melaka amat berkurangan. Ada kewajarannya untuk Pengurusan Tabung/Yayasan mengadakan kursus kepada pengurus kelab/pasukan dan pembantu menjalani latihan asas kejurulatihan. Kos Trainer akan dibiayai sepenuhnya oleh Tabung/Yayasan. Ini agenda yang mustahak juga kerana di dapati setiap jurulatih di kelab/pasukan mempunyai stail latihan yang berbeza dan tidak diketahui keefektifan kepada pemainan. Keseragaman `stretching’ umpamanya sekarang ini tidak wujud. Tatatertib dalam padang longgar. Selain daripada mencungkil bakat baru,usaha ini diharap dapat melahirkan pemain yang berdislipin di dalam dan luar padang.

Seperkara lagi mungkin lebih baik, Tabung/Yayasan membantu memberi insentif (RM100-RM300/bulan) kepada jurulatih yang menerajui atau menyumbang pengalaman kelab/pasukan sebagai pendapatan tambahan. Keadahnya boleh di rangka melalui rekod jadual kedatangan jurulatih ataupun laporan dari pihak sekolah.

Selain daripada itu, Tabung/Yayasan ini akan bersikap membantu bekas pemain yang pernah berjasa kepada Negeri dan Negara. Ramai sekali bekas pemain ini tiada pekerjaan yang tetap dan hidup melarat.

Banyak rungutan di kalangan kelab/pasukan yang kelab yang berdampingan dengan Ketua Menteri atau pimpinan negeri atau Kementerian akan mendapat penaja lebih banyak (RM1000-RM5000) manakala yang jauh dari arus politik, selalunya mendapat sumbangan purata RM500. Iklim ini tidak sihat untuk bolasepak. Semua kelab/pasukan perlu mendapat pembelaan yang sama.

Pengurusan Tabung/Yayasan perlu lebih aktif mencari sumbangan dari organisasi yang disebut diatas. Pengurusan mesti berunding dengan contohnya Syarikat Air Melaka Berhad, selain daripada penajaan air minuman untuk semua pemain semasa pertandingan, mereka perlu mencetak atau menempah lebih TShirt untuk disalurkan kepada kelab/pasukan. Andaikata SAMB menempah TShirt untuk aktiviti hari Keluarganya sebanyak 3000 anggota pekerjanya, SAMB perlu menempah 100 helai tambahan bersaiz remaja sekolah untuk diagih kepada kelab/pasukan melalui pengurusan tabung/Yayasan.

Jabatan Peparitan dan Saliran Air, jika ada program `sayangilah sungai kita’, dan ada buat tempahan TShirt untuk perserta, tidak menjadi bebanan besar jika menempah lebihan 100 helai untuk penggunaan latihan bolasepak.

Parti politik BN selalu mengadakan program gotong royong di Melaka. Berundinglah dengan BN agar menghulurkan 100 helai TShirt untuk kelab/pasukan bolasepak.


1MDB yang kerap menganjurkan aktiviti kesukarelawan, jemputlah pelatih kelab/pasukan agar mereka dapat menyumbang dan layak menerima TShirt IM4U tersebut.

Dewan Bahasa dan Pustaka pernah mengagih TShirt `Bahasa Jiwa Bangsa’ kepada tetamu untuk mempromosi penggunaan Bahasa Malaysia. Malangnya kebanyakan tetamu mengambil TShirt tersebut tetapi malu memakainya kerana murah atau tidak menarik atau berlengan pendak. Suatu pembaziran. Hulurkan kepada anak remaja untuk digunakan di padang latihan. Anak remaja merasa bangga memakainya.

Kesemua TShirt tersebut akan digunakan untuk buat latihan selama 2-3 bulan dalam semangat keseragaman. Jika ini dapat dilakukan kos pengurusan kelab/pasukan dapat dikurangkan dengan begitu mendadak.
.
Apabila setiap organisasi menyumbang TShirt dan barangan lain, kelab/pasukan ini akan dapat menguruskan kos pengurusannya dan wang tunai yang ada akan digunakan untuk bayaran lain seperti yuran padang, yuran jurulatih dan pembelian minyak untuk pengangkutan.

Pengwujudan Tabung/Yayasan secara sentral ini membawa beberapa kebaikan. Antaranya setiap kelab/pasukan yang berdaftar dengan Tabung/Yayasan akan mendapat kemudahan bantuan. GLC Negeri, Nasional dan swasta tadi akan kurang di ganggu oleh kelab/pasukan yang menagih sumbangan. Tiada perbuatan pilih kasih dan salahguna oleh pengurusan GLC dan syarikat swasta. Perasaan marah kerana dianaktirikan oleh kelab/pasukan yang kurang bernasib baik dapat dikurangkan dan sokongan terhadap Kerajaan akan bertambah baik.

Selain daripada masalah penajaan, industri bolasepak mesti dirombak juga. Terdapat banyak kelab/pasukan sekolah bersaing mencari nama sebagai kelab/pasukan terbaik atau juara. Akibatnya ada kelab/pasukan terpaksa `membeli’ pemain dari luar negeri, luar daerah ataupun luar kawasan. Ini menyebabkan kos pengurusan tinggi. Adakala jurulatih kelab/pasukan berebut rebut memiliki sesaorang pemain. Apabila sesaorang pemain memilih menganggotai sebuah kelab (bukan kelab sekolah) pemain tersebut di bekukan atau di baikot di sekolahnya. Pemain tersebut tidak dipilih mewakili sekolah apabila ada pertandingan di antara sekolah. Sikap guru sukan begini memang berlaku di Cheng, Melaka. Diharap tempat lain tidak berlaku. Ia merugikan bidang bolasepak Negara.

Transformasi bolasepak yang dicadangkan ialah kelab/pasukan sekolah menumpukan perhatian kepada pembangunan sekolah sahaja. Ini adalah kerana pembangunan bolasepak dikalangan murid sekolah memakan masa dan seterusnya mahal. Lagipun sekolah boleh dianggap sebagai kilang mengeluarkan pemain kerana murid murid bersekolah di sana. Kelab/pasukan sekolah harus menjurus kepada memperkenalkan bolasepak kepada seramai murid yang mungkin. Berbanggalah dengan pengeluaran murid sekolah yang minat bermain bola sepak dan bukan berbangga dengan pencapaian menjadi juara. KPI sekolah ialah jumlah pengeluaran bakat baru pada sesuatu masa.

Jika kelab atau sekolah menumpukan pasukan `tournament standard’ dan mengejar nama, sekolah akan menumpukan kepada 25 orang pemain sahaja dan murid yang lain akan diberi tumpuan yang kurang. Ini tidak baik untuk jangka panjang.

Selain daripada itu, kelab/pasukan mesti menumpukan pembangunan sekolah kerana kemudahan yang ada di sekolah. Setiap sekolah telah dilengkapi oleh padang dan peralatan latihan. Guru sukan pula telah dibayar gaji untuk memberikan perkhidmatan tambahan. Kemudahan ini memungkinkan lebih ramai murid diberikan pendedahan bolasepak.

Kelab/pasukan sekolah perlu dan boleh berkerjasama dengan kelab luar untuk mendapatkan perkhidmatan jurulatih yang berpengalaman dan juga bertanding di arena yang kompetitif. Adunan guru sukan dan jurulatih berpengalaman mungkin menghasilkan pemain yang lebih baik. Kerjasama jurulatih luar sepatutnya `complement’ dengan usaha pembangunan sukan oleh guru sukan dan sekolah. Pemain akan diberikan tunjuk ajar dan latihan lanjutan oleh jurulatih berpengalaman.




Seterusnya, setelah diperkatakan mengenai masalah penajaan yang sukar diperolehi dan tugas bidang pembangunan sukan bolasepak diserahkan kepada sekolah sekolah, Pengurusan Sukan Negara perlu mengambil langkah menubuhkan Badan Penganjur. Sekali lagi pihak Kerajaan negeri atau Kementerian Pendidikan perlu menerajui Badan Penganjur.

Badan Penganjur dan Dana Bolasepak harus diusahakan oleh pengurusan yang non footballer seperti amalan banyak hospital pakar negara seperti Kumpulan Perubatan Johor. Pengurus bukan perubatan KPJ menguruskan pentadbiran hospital manakala pakar perubatan menumpukan bidang kepakaran perubatan.

Badan Penganjur ditugaskan untuk menyusun pertandingan atau perlawanan setiap masa, sekerap banyak yang boleh dan pelbagai kategori yang mampu. Pertandingan Bolasepak harus meliputi kategori bawah 10 tahun, 12 tahun, 14 tahun dan 16 tahun.Selain daripada itu, futsal padang dan street soccer perlu digalakkan juga. Tidak ketinggalan dua gender.

Apabila Badan Penganjur kendalian Kerajaan Negeri atau Kementerian menjadi kenyataan, masalah kewangan bukan lagi menjadi halangan besar. Wang hadiah kemenangan, medal penyertaan, cenderahati, bayaran sewa padang mahupun khemah, pengadil perlawanan dan kelengkapan padang boleh diusahakan.

Anggota pengurusan Badan Penganjur akan bertugas menganjurkan pertandingan dan ini melepaskan bebanan kelab atau perseorangan untuk mencari penaja. Setiap penganjuran berprestej berkos diantara RM5000-RM10000 bergantung kepada jumlah penyertaan yang diinginkan dan jumlah hadiah yang hendak diberikan. Untuk menarik kelab luar, hadiah wang tunai yang tinggi menarik minat ramai. Wang hadiah tersebut, jika mereka berjaya, boleh digunakan sebagai `contra’ perbelanjaan pengangkutan, makan minum dan penginapan pemain pegawai.

Selain daripada itu, Badan Penganjur yang ada elemen Kerajaan akan mendapat kepercayaan tinggi penaja swasta seperti KFC, McD, Bank dan sebagainya. Wang penajaan dikatakan lebih selamat dan urusannya tulus. Markup berlebihan tidak berlaku. Wang pemenang pasti dilunaskan. Sewa khemah dan yuran pengadil dibereskan segera. Urusan tawar menawar dengan  pembekal akan berjaya kerana Badan Penganjur ada kekuatan. Kerjasama dengan organisasi seperti Southern Waste, Tourism Malaysia, Rela, PDRM dan sebagainya akan tidak bermasalah.

Sebenarnya banyak lagi aspek seperti fungsi KBS, peranan FAM, penglibatan Persatuan Bolasepak Negeri (MAFA) , keaktifan Sekolah Sukan Negeri (Sekolah Seri Kota), kerjasama kedai sukan, sokongan Kelab Penyokong dan sebagainya perlukan penambahbaikan, tetapi penulis tidak berhasrat mengulas di lambaran ini.

No comments:

Post a Comment