Monday, 30 June 2014

PERTAHAN ASAS ISLAM, MELAYU DAN RAJA


Penulisan Datuk Ahmad Faris Abdul Halim menarik minat penulis yang amat riasau dengan masyarakat Islam dan Melayu yang `leka' sedikit' di dalam mempertahankan Islam, Melayu dan Raja sejak kebelakangan ini.

Beliau memberi amaran bahawa Pembangkang sedang merintis jalan menguasai kubu kuat UMNO di Johor. Johor, Melaka, Pahang, Sabah dan Sarawak tidak kebal lagi dan `fixed deposit’ yang selamat lagi.

Ikuti penulisan beliau di bawah:-



SEMUA yang ada di dalam Perlembagaan Malaysia itu realitinya adalah kontrak sosial, yakni ikatan janji kemasyarakatan.

Jika itu pengertiannya, kita semua mesti mempertahankannya. Hak-hak istimewa dan khas orang Melayu/Bumiputera, hak raja (Perkara 38 dan 181), kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 159), kedudukan agama Islam dan lain-lain agama (Perkara 3), siapa itu Melayu di bawah Perkara 160 - semua ini dan lain-lain telah berakar umbi hampir 60 tahun.

Mentang-mentang anak bangsa yang pulang belajar dari Amerika, Asia Barat dan Eropah menggegarkan isu-isu berkaitan ‘nilai-nilai hak asasi’ sebagai gong politik mereka, maka kita pun khuatir dan takut. Kita segan dan mula tunduk.

Jangan lupa apabila pokok sudah condong, kura-kura pun naik - ular apatah lagi, biawak pun ikut.
Kenapa orang Melayu tidak bersatu dalam perjuangan agama, bangsa dan negara supaya kuasa politik mereka tetap kukuh dan berkuasa? Setiap orang bernama Melayu dan bumiputera harus memikirkan hal ini dan bertindak. Bila kita kuat, orang segan. Bila kita lembut, orang sudu.

UMNO, Melayu dan bumiputera harus jangan silu-segan mempelopori keutamaan perjuangannya, sekali pun berlainan agama. Justeru, fakta politik bilangan (politics of number) mesti dijuarakan. Iaitu, dengan kekuatan 60 peratus Melayu bumiputera di negara ini, di samping menghormati hak semua pihak, kita jangan takut memperjuangkan dan mengekalkan apa yang hakiki bagi kita.

Masyarakat bukan Melayu amat teguh budaya bangsa mereka sehingga memegang hampir 68 peratus kekayaan negara ini. Tetapi mereka bebas mengatakan pelbagai cercaan dan mendakwa mereka didiskriminasi, seolah-olah mereka menjadi warga nombor dua atau tiga. Padahal, kita mengetahui Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamarataan semua warga Malaysia.

Tetapi hak-hak keistimewaan seperti yang terjamin di bawah Perlembagaan 153 jangan dipolitikkan kerana hak-hak asas keistimewaan itu bukan sesuatu yang mencabul Perlembagaan negara. Memberi latihan, biasiswa, dermasiswa dan galakkan ekonomi kepada orang Melayu dan bumiputera adalah tuntutan Perlembagaan negara yang dipersetujui semua pihak pra 1957.

Itu sebabnya apabila Presiden UMNO yang pertama, Datuk Onn Jaafar mahu membuka penyertaan bukan Melayu ke dalam parti itu, tindakannya ditentang hebat oleh orang Melayu sendiri.
Dalam situasi sekarang, meskipun suasana politiknya berbeza, asas Melayunya tetap ada. Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu, asas orang kampung kuat memihak kepada UMNO yang menunjangi BN. Maka, UMNO jangan sesekali lari daripada perjuangan orang kampung. Jangan nanti dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran.

Felda yang diuruskan dengan begitu baik oleh kerajaan sejak 57 tahun lalu membuktikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada BN. Anggotanya iaitu peneroka merupakan golongan yang sentiasa dimomokkan oleh pembangkang sebagai tidak berpelajaran, sedangkan hakikatnya telah menceriakan suasana politik semasa.
Kepada pembangkang dek kerana cemburu sokongan hebat peneroka Felda kepada BN, maka ‘janganlah memandang orang kampung dan Felda kononnya tidak tahu berpolitik’.

Felda bersama golongan profesional anak-anak Felda diharap terus memberi penjelasan dan penerangan supaya tiada golongan generasi pertama dan kedua terkeliru dengan isu yang dimainkan pembangkang. Jangan juga tertipu dengan ‘Melayu liberal.

Di sebalik semua ini, asas Melayu sebenar era 50-an inilah yang dilihat terus bertahan sehingga hari ini. Ketika sebahagian orang Melayu dalam politik kelihatan mengejar suatu yang belum pasti, sedar tak sedar kita hanya kurang tiga setengah tahun sahaja untuk berdepan PRU-14. Sedangkan pembangkang, terutama DAP sedang mengaut kerusi sedikit demi sedikit.

Barang diingatkan mengenai Perkara 2(a) Perlembagaan Persekutuan mengenai penerimaan masuk wilayah-wilayah baharu ke dalam Malaysia yang cukup dengan sekadar majoriti dua pertiga.

Kalau ini terjadi - diperkuatkan lagi dengan kenyataan pengasas Singapura moden, Lee Kuan Yew sebelum ini yang berulang kali menyatakan tidak mustahil Singapura akan bersatu dengan Malaysia dengan beberapa syarat - maka bayangkan ‘implikasinya’ dengan Singapura yang memiliki 87 kerusi Parlimen termasuk dimenangi PAP (81). Yakni, 87 kerusi Parlimen Singapura + 222 kerusi Parlimen negara. Apa akan jadi kepada orang Melayu?

Ini cara paling mudah untuk gabungan PAP-DAP yang mendominasi pakatan pembangkang di sini dengan 38 kerusi Parlimen masa ini untuk menguasai Malaysia.
Kerana itu, pemimpin BN terutama UMNO kena menjaga tingkah-laku seperti mana ditegaskan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa UMNO bukan hanya perlu kelihatan bersih tetapi mesti bersih.
UMNO dalam skop ini perlu berpijak di bumi nyata bahawa parti ini berasal daripada masyarakat bawahan. Jangan nanti terus alpa, akan dicap ‘UMNO ini dari golongan bangsawan yang dibesarkan dari istana kemewahan’. Berdasarkan senario politik semasa, kepimpinan Negara diperlukan lahir dari mereka yang dibesarkan dari keluarga orang kebanyakan kerana mereka yang boleh memahami apa permasalahan masyarakat bawahan (marhaen) ini.

Sebab itu UMNO perlu kuat. Dalam PRU lepas, ahli UMNO sewajarnya tersedak apabila Johor yang sekian lama menjadi kubu kebal parti sudah semakin ditembusi. Ini apabila DAP khususnya dapat menguasai kerusi-kerusi penting di negeri kelahiran UMNO itu. Ini semacam ‘red alarm’ kepada kepimpinan UMNO. Jangan ambil mudah perkara ini. Orang Johor jangan sekadar berbangga dengan semangat orang Johor mereka sekiranya DAP semakin menjalar di negeri tersebut.

Institusi raja merupakan tunjang kepada UMNO. Institusi ini perlu dipertahankan. Ini menjadi benteng kesinambungan UMNO. Hubungan rapat dua institusi ini perlu terus dibina. Jangan pula kita menjadi sebahagian daripada golongan yang merosakkan institusi ini.

Berdasarkan statistik, berapa sangatlah sekarang kawasan majoriti Melayu yang ada. UMNO menang 88 kerusi, Pas 21 dan sebahagian kerusi PKR ada kawasan yang diduduki pengundi Melayu. Katalah kira-kira 120 kerusi Melayu. Itu jumlah yang kecil untuk mempertahankan status quo.
Pada PRU-13, sungguhpun BN hilang tujuh kerusi Parlimen lagi, namun UMNO meningkatkan kerusi Parlimen yang diwakilinya daripada 79 kerusi kepada 88 kerusi. Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri juga menyaksikan peningkatan kerusi UMNO daripada 239 pada 2008 kepada 242 pada 2013.
Realitinya, kemenangan pilihan raya BN diperoleh hasil dua cara, iaitu melalui UMNO yang menang di kawasan majoriti tradisional Melayu di Semenanjung dan melalui parti komponen BN yang mendapat kerusi majoriti di Sarawak dan Sabah.

Kebanyakan yang masih menyokong BN terdiri dari pengundi Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak di mana BN memenangi 22 kerusi Parlimen daripada 25 yang dipertandingkan di Sabah dan 25 dari 31 kerusi Parlimen (Sarawak). Jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi oleh BN untuk dua negeri “deposit BN" ini adalah 47, mewakili 35 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen yang dimenangi BN. Kalau dilihat dalam konteks PRU-13, negeri-negeri seperti Johor, Pahang, dan Melaka masih majoriti pengundi Melayu berpihak kepada BN dan untuk negeri-negeri lain di Semenanjung, peratusan kaum Melayu menjadi 50:50 di antara BN dan pakatan pembangkang.

Justeru pada PRU-14 nanti orang Melayu perlu memastikan seluruh kawasan ini berjaya dipertahan. Jangan sampai terlepas seperti mana nasib malang yang ditanggung bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang kalah di kerusi Parlimen Batu Pahat. Mohd. Puad yang ketara perjuangan kemelayuannya tewas kerana ahli parti di Johor tidak ‘membelanya’.

Kita harapkan UMNO sekarang dan beberapa tahun mendatang ini menampilkan ciri-ciri yang kental dan stabil. Melalui UMNO yang lahir daripada masyarakat bawahan, parti ini perlu kembali lebih serius untuk merasai keperitan masyarakat di sana.

Pertahankanlah asas-asas Melayu, Islam dan raja-raja Melayu. Marilah dengan semangat Ramadan ini sebagai permulaan perjuangan kita.

* DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah Penganalisis isu-isu semasa


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140630/re_02/Pertahan-asas-Islam-Melayu-dan-raja#ixzz365yaEExy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment